Monday, February 9, 2015

Mencukupkan Duit Gaji

Pertama :- Simpanan Minimum 10 %

Sebelum kita ambil duit gaji  untuk dibelanjakan ( belanja harian, belanja dapur, bayar ansuran, bayar hutang dan sebagainya ), SIMPAN 10 % dahulu gaji tersebut ke akaun simpanan.



Contohnya, gaji saya adalah di dalam akaun Maybank. Jadi, setiap kali gaji masuk, saya akan transfer sekurang-kurangnya 10% gaji saya ke akaun Tabung Haji saya. Kemudian, barulah saya akan gunakan wang gaji tersebut untuk pelbagai urusan. Seharusnya, kita perlu ada sekurang-kurangnya 2 akaun iaitu akaun bank untuk wang perbelanjaan dan akaun simpanan yang tidak boleh diganggu.Secara analoginya :-

RM 1200 sebulan, 10% ialah RM 120 sebulan x 12 bulan = RM 1440 setahun
Dan anda telah bekerja selama 5 tahun, maka simpanan anda sudah RM 7200.
Jika gaji RM 2800, 10% ialah RM 280 sebulan x 12 bulan = RM 3360 setahun
Dan jika anda telah bekerja selama 5 tahun, maka simpanan anda sudah RM 16 800.


Kedua :- Ada Perancangan Kewangan

Perancangan kewangan amat penting bagi mengelakkan wang digunakan kepada perkara yang tidak sepatutnya. Bahagikan siap-siap jumlah wang untuk setiap kategori perbelanjaan dan komitmen bulanan.

Sebagai contoh, jika gaji bulanan anda RM 2000 :-

Simpanan (10%) RM 200
Sewa rumah RM 300
Ansuran kereta RM 300
Bil elektrik/air RM 100
Broadband RM 68
Makan minum RM 400
Sedekah RM 100
Ibu Bapa RM 300
Anak-anak RM 100
Lain-lain (minyak, tol, luar jangka) RM 132
JUMLAH = RM 2000


Dengan perancangan ini, kita akan tahu ke mana wang disalurkan. Amalkan merekod dan mencatat perbelanjaan harian dalam buku kewangan khas. Catat perbelanjaan pada hari tersebut dan semak kembali adakah ia telah melebihi jumlah yang sepatutnya. Jika ya, perlu seimbangkan kembali dengan perbelanjaan yang lain.


Ketiga :- Belanja Ikut Keperluan Bukan Ikut Kemahuan

Belanja ikut keperluan dan bukan ikut nafsu kemahuan. Ramai yang pantang tengok sesuatu perkara yang diminati, mereka akan segera dapatkannya. Walaupun ia tiada dalam perancangan dan bukan sesuatu yang menjadi keperluan.

Antara sebab ramai yang tidak cukup duit gaji adalah pada tip ini :-

Perlukah tukar handphone baru jika yang lama masih lagi ok dan boleh digunakan?
Perlukah langsir baru atau sekadar mengikut trend?
Mana lebih jimat makan dirumah atau makan di kedai setiap hari?
Makan satu dua lauk sudah cukup daripada makan banyak lauk dalam sesuatu masa?
Sport rim baru walaupun yang lama dah cukup cantik?


Keempat :- Minimumkan Perbelanjaan

Apabila kita mengurangkan perbelanjaan dan jumlah komitmen bulanan, maka kita mempunyai lebih banyak wang lebihan setiap bulan. Sebagai contoh, jika bil air dan elektrik anda mencecah RM 150 setiap bulan, bagaimana kita dapat jimatkan dan kurangkan penggunaan elektrik dan air sehingga hanya RM 100 sebulan. Jadi, kita jimat RM 50 sebulan.

Sama juga, berbanding naik kereta ke tempat kerja, mungkin naik motor lebih praktikal dan lebih jimat minyak jika tempat kerja dekat sahaja. Bil telefon atau topup, kurangkan call dan sms, atau boleh whatsapp sahaja. Atau pilih pelan telefon yang percuma untuk panggilan ke talian yang sama.


Kelima :- Amalkan Menderma

Sudahkah kita peruntukkan sejumlah wang untuk anda dermakan setiap bulan?



Tahniah jika anda ada menderma, tetapi jika tiada, mulakan untuk menderma sedikit wang anda kepada mereka yang memerlukan. Ini kerana dengan menderma, Allah akan cukupkan keperluan anda dan tambahkan lagi berganda-ganda daripada sumber yang tidak disangka-sangka.


Konklusi

Tip di atas ini bukanlah bermaksud anda terpaksa berlapar atau berkorban hidup dengan segalanya kurang, tetapi saya ingin mengajak untuk kita sama-sama menyimpan wang kita dan melihat kembali bagaimana kita menguruskan wang kita supaya sentiasa mencukupi dan menjadi lebih baik.



Semoga dapat kita amalkan 5 tip ini supaya duit gaji yang diperoleh setiap bulan cukup, dapat disimpan dan diberkati Allah hendaknya. Amin.

Adpatasi :- http://www.zulpress.com/

Bandar Baru Bangi
19 Rabiul Akhir 1436H

No comments:

Post a Comment