Sunday, March 1, 2015

Moga Berbahagia Di Sana

Saya ingat lagi apabila saya membaca garis masa Twitter secara rambang dan kemudian terlihat suatu tweet yang mengambil perhatian saya. Tweet tersebut menyatakan bahawa Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Nik Aziz telah kembali ke rahmatullah.

Tergamam saya membaca tweet tersebut. Umum mengetahui bahawa kesihatan Tok Guru Nik Aziz sememangnya tidak berapa baik, tetapi berita kematiannya masih mengejutkan ramai.

Selepas melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan, beliau tidak banyak dilihat keluar rumah, walaupun pendapatnya tentang isu-isu yang berbangkit masih diraih.




Saya tidak pernah berjumpa dengannya. Saya langsung tidak mempunyai darah Kelantan. Saya juga banyak tidak setuju dengan pendapat beliau, terutama dalam isu-isu seperti perlaksanaan hudud dan hak asasi manusia. Saya juga ada yang tidak bersetuju dengan politiknya. Tetapi saya tetap terkesan apabila mendapat tahu bahawa beliau telah meninggal dunia.

Masakan tidak? Apabila berbicara tentang politik tanah air, Tok Guru Nik Aziz adalah antara nama yang sering disebut-sebut. Sejak saya mengenali politik Malaysia, beliau merupakan salah satu sosok larger-than-life, sama seperti sosok politik gergasi yang lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Negeri Kelantan, yang diterajuinya selama lebih dua dekad sudah menjadi sinonim dengan namanya. Kerajaan Pas Kelantan bertahan sejak tahun 1990 sehingga kini antara lain disebabkan oleh cara beliau menerajui negeri tersebut.

Tok Guru Nik Aziz terkenal dengan kesederhanaannya. Kita semua tahu tentang bagaimana beliau tidak tinggal di tempat kediaman rasmi menteri besar, tetapi di rumahnya yang sederhana. Kita juga tahu tentang bagaimana beliau sering keluar seorang diri tanpa diiringi pegawai ataupun bodyguard.

Hampir mustahil sebenarnya untuk melihat kesederhanaan yang sama pada ahli politik sekarang. Wakil rakyat biasa juga boleh hidup mewah, apatah lagi seorang menteri besar atau ketua menteri.




Kesederhanaan yang ditunjukkan oleh beliau, seorang ketua eksekutif sebuah negeri menjadikan beliau disanjung ramai. Melayari media sosial selepas berita kematiannya tersebar, saya juga kagum apabila melihat begitu ramai rakyat Malaysia bukan Islam yang memberi penghormatan terakhir kepadanya melalui mesej di media sosial.

Ini menunjukkan bahawa beliau bukan hanya disanjungi oleh orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam. Ini tidak mengejutkan, beliau berusaha untuk mendekati bukan Islam, sama ada atas kapasitinya sebagai menteri besar dan ahli politik ataupun sebagai ulama.

Beliau juga banyak menyumbang dalam menjadikan partinya sebagai suatu parti yang boleh diterima ramai, bukan sahaja orang Islam. Pada masa yang sama, beliau tidak pernah berkompromi dalam perkara-perkara mengenai agama sehinggakan beliau sering dilabel sebagai seorang ‘konservatif’.

Dalam keadaan di mana pihak berkuasa dan NGO-NGO Islam dilihat seperti sering menyekat atau menyokong sekatan hak-hak orang bukan Islam, legasi Tok Guru Nik Aziz dalam hubungan antara kaum dan agama wajar diteruskan.

Saya fikir ini suatu cara dakwah yang amat berkesan; menunjukkan keindahan Islam melalui interaksi kita dengan bukan Islam dan menghormati hak-hak orang bukan Islam. Pemergian Tok Guru Nik Aziz meninggalkan suatu kekosongan yang amat besar dalam arena politik tanah air.




Pulanglah seorang ikon politik tanah air tanpa tara, berjumpa Penciptanya. Seorang ketua kerajaan yang hidup seperti rakyat. Seorang ulama yang berprinsip dan disegani. Seorang negarawan yang mana jenisnya kian lama, kian pupus. Selamat tinggal Tok Guru; moga dikau berbahagia di sana.

Adaptasi :- Sinar Harian


10 Jamadil Awwal
Bandar Baru Bangi


No comments:

Post a Comment