Monday, September 5, 2011

Tatkala Menegur

Kadang-kadang kita mempunyai kawan yang banyak melakukan kesilapan. Sekiranya kita seorang majikan, mesti ada pekerja kita yang selalu membuat kesilapan. Begitu juga dengan seorang murabbi dengan mutarabbi.


Apakah maksud penyataan di atas?

Semestinya ianya berkaitan dengan tegur-menegur atau nasihat-menasihati.

Ada orang yang jenis tegur direct sahaja. Ada juga yang penuh berhikmah.

Dan ada juga yang tidak tegur langsung lantaran terlalu memikirkan cara paling berhikmah yang tidak membuatkan seseorang itu tidak terasa hati. Ini sudah lari dari konsep Amar Makruf Nahi Mungkar.




Namun, ada beberapa tips yang boleh dikongsikan. Mungkin ada manfaatnya.


1) Tegurlah dengan cara paling baik dan pada waktu paling tepat sekali.
Yang penting, bukanlah untuk sampaikan teguran itu, paling penting adalah supaya teguran itu diterima.
Maka sediakan mekanisme terbaik untuk melakukan teguran itu.
Tak kiralah teguran itu dirasakan dalam suasana penuh kasih sayang, tapi jika cara dan waktu tidak tepat, kita hanya akan menyalakan lava yang tengah meluap-luap amarahnya.

2) Jalinkan kecintaan sebelum meminta ketaatan. Jalinkan kepercayaan sebelum memberikan nasihat.
Adilkah jika kita menegur seorang mutarabbi mahupun jundiy kita, sahabat atau adik beradik kita, pekerja atau orang bawahan kita dalam keadaan kita tidak merasai ikatan hati, ataupun paling penting, dia TIDAK merasai kasih sayang dari kita?
Kita tak pernah endahkan dia, tak pernah mendengar masalah dia, tak pernah membantu dia.
Dan kini kita hadir padanya, meminta ketaatan berbuat baik dan mahu menegur sahaja?
Asasnya, santunilah kekurangan pada diri mereka dengan baik.

3) Mencari medium terbaik dalam memberikan teguran/didikan.

Barangkali kita bukanlah orang yang terbaik dalam menegurnya. Carilah orang yang hati mutarabbi dan jundiy kita lebih terbuka untuk menceritakan segalanya. Carilah orang yang pandai berbicara dalam memberikan didikan ini. Jadikan mereka orang tengah kita jika orang lain lebih pandai menegur dari kita
Menegur melalui E-mail, SMS, Telefon, Facebook?
Tidak dinafikan bahawa medium berikut ada baiknya. Tapi, ketika menegur dan memberikan didikan, manusia sangat banyak salah faham jika teguran itu tidak bernada, dan menunjukkan teguran berlaku secara sehala tanpa bertanya apakah asal usul punca masalah itu berlaku.
Bertemulah, berjumpalah, dan mendengar penjelasan darinya. Insyaallah, Allah akan mempermudahkan urusan kita dengan membuka hatinya pada kita.





4) Cari masa sesuai dan tenang dalam memberikan teguran.
Jika kita memegang halaqah, bukan sepuluh minit sebelum mutarabbi kita nak menyampaikan usrah, di waktu itulah kita menegur dia. Hancurlah perasaan dia, dan menurunlah semangat dia dalam amal.
Bawalah dia pergi ke kedai makan. Berboraklah perihal-perihal santai sebelum membicarakan hal serius.
Cuba buka hati dia dahulu menerima kita sebelum kita menyampaikan apa-apa pada dia.
Duduk bersemuka dengan dia, dalam keadaan dia tenang, bukan ketika dia sedang mengalami tekanan perasaan yang mengancam.
Ambil waktu paling tepat sekali. Jangan gopoh dan tidak bersabar.

5) Anggaplah dia seperti adik sendiri/anak sendiri/diri sendiri.
Fahami dan dengarilah dia sebelum kita menegur.
Dan tegurlah dengan cara seperti mana kita mahu diri kita sendiri ditegur.
Mulakan dengan pujian dan penghargaan, kemudian barulah membuka topik perbincangan.
Jangan memandang rendah akan dirinya. Jangan membuatkan dia rasa begitu hina, lebih hina dari tanah. Jangan bagi dia rasa down selepas teguran. Setiap manusia ini ada ego yang perlu dijaga.
Kerana setiap nasihat, kita mahukan perubahan.Kita bukan mahu dia lari dari tarbiyah!

6) Paling penting, jangan menegur dalam keadaan kita sangat beremosi.
Biarkan waktu melegakan hati kita. Minta pada Allah diberikan cara dan petunjuk terbaik dalam menegur.
Niat yang ikhlas sahaja takkan menjamin teguran itu diterima, cara kena amat betul dalam penyampaian.
Itulah serba sedikit tips yang dapat dikongsikan.



Kita haruslah mengigatkan diri kita jika kita menjadi Qiyadah, Murabbi agung, Mas’ul, Bos, sekalipun, kita tidaklah superior dari mereka, kita tidaklah lebih baik dari mereka. Mungkin lebih teruk sekalipun.
Kerana itu, teguran itu dibuat atas dasar diri kita bersedia untuk ditegur dan berubah juga. Diri kita mahu juga ditegur dan dinasihati selalu.
Kita merasa ajaib apabila melihat, kematangan hidup dan pengalaman bergaul dengan ramai manusia, amat memberi kesan kepada perwatakan dan kata-kata pada seseorang. Namun, natijah lambat atau cepat, itu urusanNya. Kita cuma berusaha.
Dan kita yang menjadi tentera kecil mahupun Mutarabbi hina ini, perlu belajar dari kesilapan ini. Jangan ulangi perkara sama. Jadilah manusia lebih baik. Samalah seperti mana kita mengharapkan mereka juga belajar dari kesilapan kita , membetulkan kesilapan kita, dan sentiasa menjadi lebih baik dari kita.
Ada di antara kita yang lebih bahagia kerana tingginya kedudukan mereka di mata jemaah, manusia mahupun dunia, namun kedudukan kita di sisi Allah itu lebih utama. Dan betul, teguran pada Qiyadah, Naqib, Mas’ul, Bos juga perlu sama sahaja seperti di atas. Kita merupakan sekelompok jemaah manusia, bukannya robot dan tentera. Ada emosi dan masalah. Maka seharusnya belajar cara berkomunikasi dengan baik.
Akhir kalam, teringat saya pada pesanan Mas’ul saya:
“ Kalau nak menegur sesuatu kemungkaran itu, jangan sampai kemungkaran itu bertambah besar. Tapi, jangan tidak menegur langsung. “
Wallahu’alam.

Rembau 
7 Syawal 1432H

1 comment: