Wednesday, August 17, 2011

Mazhab Lain

Informasi ini hasil dari blogwalking saya. Semoga ia bermanfaat.
Selepas kita sudah mengetahui  empat mazhab yang utama di dalam Ilmu Feqh ini,kita beralih pula kepada mazhab-mazhab yang telah pupus ditelan zaman yang mana pendapat-pendapat pengasasnya tidak dikumpulkan dan tidak dibukukan oleh para pengikutnya,bahkan mazhabnya ini tidak dikembangkan dan disebarkan ke serata pelusuk negara-negara islam sepertimana yang dilakukan oleh empat mazhab utama yang telah diterangkan dahulu…oleh itu dengan izin Allah akan diterangkan setiap mazhab-mazhab tersebut satu persatu.
Mazhab Al-Auzai’ey
Beliau ialah Abu Amru Abdul Rahman Bin Muhammad Al-Auzai’ey Ad-Dimasyqi, dilahirkan di Dimasyq (Damsyik) pada tahun 88 hijrah,beliau telah menetap di sana dalam beberapa lama kemudian beliau telah berhijrah ke Beirut  dan telah menetap di situ di saat-saat akhir hayat beliau,di sana beliau telah menjadi seorang imam yang besar,alim dan menjadi tempat rujukkan orang ramai sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 157 hijrah.
Dahulunya beliau merupakan imam kepada penduduk Syam,beliau merupakan imam yang sezaman dengan Imam Malik dan masing-masing telah mangasaskan mazhab mereka yang tersendiri,beliau merupakan diantara ahli feqh yang tidak menggunakan Ar-Ra’yu di dalam pendekatan ilmu mereka,sesungguhnya beliau pernah berkata : 

Jika datangnya hadith rasulullah sallallahu alaihi wassalam kepada kamu,maka janganlah kamu mengambil selain daripada hadith tersebut!!

Sesungguhnya beliau tidak takut langsung untuk menyatakan sesuatu kebenaran dan juga tidak takut langsung dengan celaan-celaan orang, hakikatnya tiada suatu apa pun yang beliau takutkan.
Mazhab Imam Auzai’ey ini telah tersebar ke serata Syam dan Andalus,bahkan ianya lebih banyak tersebar dan berpengaruh di Syam sehinggalah ke akhir kurun ketiga hijrah,yang mana Mazhab Syafiey pula yang lebih banyak mendapat pengaruhnya selepas kurun tersebut,dan di Andalus pula Mazhab Maliki telah mengambil pengaruhnya melebihi mazhab beliau ini ,akhirnya tidaklah berbaki lagi pengaruh mazhab beliau ini melainkan hanyalah kata-kata beliau sahaja yang terdapat di berbagai-bagai kitab.


Mazhab At-Tsauri
Beliau ialah Abu Abdillah Sufyaan Bin Said Ats-Tsauri Al-Kufiy,dilahirkan di Kufah pada tahun 97 hijrah dan telah meninggal dunia pada tahun 161 hijrah mengikut riwayat yang sahih.
Beliau dahulunya merupakan imam yang pengetahuanya sudah sampai ke tahap mujtahid mustaqil,yang mana ketinggian ilmu beliau ketika itu adalah sebanding dengan para imam mazhab yang lain,beliau juga merupakan imam di dalam bidang ilmu hadith dan berbagai cabangan ilmu yang lain,sesungguhnya Ibnu Khalkaan pernah berkata tentang beliau:-

Dahulunya Umar Bin Al-Khattab merupakan ketua masyarakat di zamanya,selepas beliau pula ialah Abdullah Bin Abbas radiallahu anhuma,selepas beliau pula ialah As-Syakbi iaitu Abu Amru A’mir Bin Syurahiil yang meninggal pada tahun 104 hijrah manakala selepas beliau pula ialah Imam Sufyaan Ats-Tsauri”.
Tetapi sayangnya mazhab beliau ini tidak ramai pengikutnya,bahkan telah terhenti daripada tersebar dalam masa yang sekejap sahaja.
Mazhab Al-Laits Bin Saad
Beliau ialah Abul Harith Al-Laits Bin Saad Bin Abdur Rahman,dilahirkan pada tahun 94 hijrah di sebuah perkampungan di Mesir.
Semenjak kecil lagi beliau sememangnya sudah terkenal dengan keilmuanya dan kesopananya,dan sesungguhnya beliau telah banyak mengembara ke serata pelusuk negeri,beliau pada mulanya telah mengembara ke Hijaz dan telah bertemu dengan para ulama’ di sana dan telah berguru dengan mereka,dan pernah berlaku suatu perbincangan dan perdebatan ilmiah antara beliau dan Imam Malik di sana,khususnya perbincangan yang berkisar tentang Amalu Ahli Madinah yang digunapakai oleh Imam Malik sebagai salah satu hujah syarak,kemudianya beliau telah mengembara ke Iraq, di sana beliau telah berguru pula dengan Rabia’h Bin Abdur Rahman iaitu tuan guru kepada Imam Malik bahkan telah berlakunya juga suatu perdebatan ilmiah antara beliau dan gurunya itu pada beberapa masalah ilmiah,dan akhirnya beliau kembali semula ke Mesir untuk menghabiskan baki sisa umurnya dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan,dan telah memajukan kehidupan penduduk Mesir dengan kehidupan yang berlandaskan syarak…
Sesungguhnya Imam Malik tersangat memuliakan beliau dan terlalu menghormatinya,dan Imam Malik telah berkata tentang beliau :

Telah dikhabarkan kepadaku daripada seorang ahli ilmu bahawa telah diberitakan daripada Imam Al-Laits Bin Saad bahawa beliau dahulunya merupakan orang yang kaya,yang mana walaupun beliau merupakan seorang yang kaya tetapi tidaklah diwajibkan kepada beliau zakat kerana beliau sering memberikan hartanya itu kepada saudara-maranya yang terdiri dari kalangan ulama’ dan juga kepada orang-orang yang memerlukan”.

Telah diriwayatkan daripada Imam Syafiey rahimahullahu taala tentang perbandingan di antara beliau dan Imam Malik dari sudut ketinggian ilmu : 

Imam Al-Laits Bin Saad adalah lebih alim daripada Imam Malik tetapi sayangnya para pengikutnya telah mengsia-siakanya




Mazhab Daud Az-Zahiri
Beliau ialah Abu Sulaiman Daud Bin Ali Al-Asfahaniy Az-Zahiri, telah dilahirkan di Kufah pada tahun 202 hijrah dan telah menetap di Baghdad sehinggalah beliau meninggal dunia di sana pada tahun 270 hijrah.
Beliau telah berguru dengan Imam Syafiey rahimahullah taala dan juga telah berguru dengan Abu Tsaur dan juga Ishaq Bin Rahawiah dan juga para imam yang lain,sesungguhnya beliau terlalu fanatik dengan Imam Syafiey,tetapi beliau telah mengasaskan mazhab beliau yang tersendiri,beliau telah mengasaskan mazhab Az-Zahiri,dan sebab beliau menamakan mazhab beliau sebegitu adalah kerana beliau mengambil nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah secara zahir,yang mana jika tiada sebarangnya dalil dari keduanya yang menunjukkan ianya bukan secara zahir,ataupun tiadanya sebarang ijmak yang bercanggah dengan nas yang dipandang secara  zahir tersebut..
Sesungguhnya Imam Daud amat berpegang dengan firman Allah Taala ini :

Jika kalian berselisih terhadap sesuatu maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan RasulNya 
(Surah An-Nisa’ : 59)

Bahkan telah menjadikan ayat Allah ini sebagai asas utama mazhabnya ini,oleh kerana itu beliau amat  berpegang dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dan Ijmak para ulama’ ummah,dan sesungguhnya beliau menolak pada beramal dengan hujah Al-Qiyas dan Al-Istihsan dan juga dalil-dalil syarak yang lain..
Sesungguhnya Imam Daud telah dikira sebagai penghafaz hadith nabi dan juga merupakan imam yang tersangat berpegang dengan dalil dari As-Sunnah,bahkan terlalu fanatik di dalam mengambilnya sebagai dalil hukum syarak,dan tanpa syak lagi beliau merupakan imam yang sangat faqih,mujtahid dan merupakan pengasas kepada mazhab yang tersendiri,dan betapa ramainya orang yang telah mengikuti beliau,dan sesungguhnya mazhab beliau ini telah tersebar luas di Baghdad dan juga di Andalus,yang mana Al-Faqih Ali Bin Ahmad Bin Said Bin Hazm Al-Andalusi merupakan imam yang telah menyebarkan mazhabnya ini di sana bahkan telah mempertahankan mazhab ini dan telah mengarang betapa banyaknya kitab-kitab di dalam mazhab tersebut..
Diantara kitab yang terpenting di dalam mazhab in adalah kitab Al-Muhalla iaitu sebuah kitab Feqh,dan begitu juga kitab Al-Ihkam Fi Usulil Ahkam iaitu sebuah kitab di dalam Ilmu Usul Feqh,
Walaupun mazhab beliau ini tersebar luas dan betapa ramainya pengikut yang  telah mengikuti beliau,tetapi mazhab ini juga tidaklah bertahan lama dan telah mulai pupus semenjak daripada kurun kelima hijrah lagi,dan telah pupus terus mulai dari kurun kelapan hijrah dan tidak berbaki langsung mazhabnya ini melainkan hanyalah berupa pendapat-pendapat yang terdapat di kitab-kitab.
Diadaptasi dari sumber tertentu. 


Sandakan
17 Ramadhan 1432

No comments:

Post a Comment