Monday, December 26, 2011

Sihat Dengan Solat

Salah satu gerakan yang paling memberi kesan kepada kesihatan kita ialah sujud. Sujud merupakan satu keadaan yang mana kita sangay hampir dengan Allah SWT. Dari sudut kesihatan pula, kajian saintifik yang dibuat berjaya menemui pelbagai manfaat hasil daripada gerakan istimewa ini.


Antara manfaat kesihatan yang dapat dibuktikan dengan melakukan sujud ialah:-

1) Meningkatkan kecerdasan otak

Apabila kita berdiri tegak, biasanya pengaliran darah ke otak tidak mencukupi untuk keperluan otak. Apabila kita sujud, darah akan mengalir dengan lebih banyak ke bahagian otak yang sangat penting untuk kesihatan otak. Dengan sujud juga darah akan mengalir dengan lebih banyak ke bahagian kulit muka dan ia boleh menyegarkan kulit muka dan mengurangkan risiko terkena penyakit resdung.

2) Mengurangkan risiko migrain atau sakit kepala.

Aliran darah yang meningkat ke bahagian otak semasa sujud mampu mengurangkan risiko terkena serangan sakit kepala dan juga migrain

3) Baik untuk sistem pernafasan

Apabila manusia bernafas secara normal, hanya 2/3 udara di dalam paru-paru dihembus keluar. Selebihnya berada di dalam paru-paru sebagai udara lebihan. Udara yang tidak terusik ini boleh menakung bakteria dan juga habuk yang disedut dari udara dan mendatangkan pelbagai masalah kepada paru-paru kita. Apabila kita sujud, organ dalaman akan menekan diafragma kita dan sekaligus menolak paru-paru bahagian bawah ke atas dan boleh mengeluarkan udara berlebihan tersebut. Mekanisma ini sangat penting untuk menjaga kesihatan paru-paru kita.



4) Menggerakkan sendi dan otot

Sujud melibatkan pergerakan kesemua anggota badan kita seperti kepala, kaki, tangan, bahu, tulang belakang, tulang pinggul, dada dan sebagainya. Pergerakan sendi dan otot anggota badan ini boleh melatih otot tersebut untuk menjadi lebih kuat dan membantu melancarkan peredaran darah. Otot yang bergerak boleh menghilangkan sengal dan lenguh sendi.

5) Mengelakkan penyakit buasir

Kedudukan sujud yang mana pinggul lebih tinggi berbanding badan boleh mengurangkan risiko terkena penyakit buasir. Semakin banyak sujud, semakin kurang risiko untuk penyakit ini kerana graviti akan menarik pembuluh darah buasir ke arah bertentangan arah.

6) Mengubat penyakit rohani

Lebih penting lagi, sujud boleh mengubat penyakit rohani jika kita betul-betul menghayatinya. Sujud boleh menyebabkan seseorang itu merasa rendah diri di hadapan Allah SWT dan merasai bahawa DIA sangat dekat dengannya, sekali gus bolh mengikis penyakit hati seperti sombong, riak dan takabbur.

Sekali lagi hendak diingatkan untuk diri ini dan semua, gerakan solat dan sujud yang kita lakukan bukanlah untuk mengejar manfaat kesihatan berikut. Ia hanyalah anugerah yang diberikan Allah SWT yang Maha Pemurah.

Rembau
1 Safar 1433H

No comments:

Post a Comment