Wednesday, January 25, 2012

Sedang Ingin Bercinta

Pernah dengar tajuk di atas?


Seolah seperti nama sebuah lagu. Saya pun tidak ingat kumpulan mana yang mendendangkannya. Tapi, bukan itu yang hendak saya kongsikan.

Uish!! Kali ini saya ingat hendak berkongsi mengenai cinta. Topik yang paling saya suka. Dan semasa belajar di Kelantan dulu, saya acapkali mendengarnya.

Cinta. Dulu saya pernah merasainya. Ketika di zaman persekolahan. Sungguh manis bila berada dalam alam percintaan. Namun, apabila saya mula terlibat dengan gerakan da'wah, pandangan saya terhadap cinta adalah negatif. Statement yang selalu dilaungkan - Cinta sebelum pernikahan seolah-olah kotor dan menjijikkan! Ini tidak boleh. Itu tidak boleh.

Apabila saya melakukan pembacaan yang datang dari pelbagai sumber, dapat saya rumuskan bahawa cinta itu mengikut bagaimana individu mendefinisikannya. Ada yang beranggapan bahawa percintaan itu mesti ada hubungan intim berlainan jantina. Mesti mesej, call, saling berkirim salam, berjiwangan, manja-manja. Seterusnya melarat ke arah membuat pertemuan. Itulah yang kebanyakan masyarakat pegang.




Ada juga yang menganggap bahawa cinta itu adalah satu yang suci. Matlamat akhirnya - Syurga. Segala apa yang membawa kepada kebinasaan atau membuka laluan-laluan ke Neraka tidak layak dipanggil cinta. Ini kerana sekiranya kita mencintai seseorang atau sesuatu, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh membinasakannya kelak. Ini jarang masyarakat kita pegang dan amalkan.

Dan sebab-sebab inilah menjadikan cinta sebelum pernikahan itu dipandang negatif. Cinta menjadi mangsa keadaan akibat daripada pelbagai pendefinisian tentang cinta.

Kalau kita mencintai seseorang, kita tidak akan membuka pintu-pintu maksiat bersama dengannya. Kita tidak mengheret dia menghampiri neraka. Kadang-kadan ada orang yang memakai "topeng-topeng Islam" untuk mendapatkan pasangan yang dicintainya. Pokoknya, kita mestilah memegang prinsip definisi cinta yang sebenar. Iaitu bersama menghampiri SyurgaNya.

Cinta sebelum pernikahan itu bukanlah dengan cara bercouple, iaitu benda yang melalaikan dan bukan pula benda yang merosakkan. Ia boleh dilakukan dengan cara membuat persiapan diri. Dari segi menambah ilmu, tingkatkan kematangan, perancangan kewangan, lebih serius untuk memikul tanggungjawab & memperbanyakkan amal ibadah. 




Orang yang benar cintanya, akan berusaha mempersiapkan dirinya dari sudut mana sekalipun. Bukanlah untuk mencapai kesempurnaan, tapi sekurang-kurangnya kelompongan asas dalam satu-satu sudut itu, ada isinya. Orang yang benar cintanya akan meletakkan sasaran bila akan mendirikan rumahtangga. Mula berta'aruf dengan bakal mertua.

Sedang ingin bercinta, tetapi tidak terburu-buru dalam soal perasaan. Tidak mudah meluahkan perasaannya. Tidak mudah tersangkut dengan si fulan itu. Tidak mudah tersangkut dengan si fulan ini. Ini kerana ianya dipandu keimanan. Dan apabila jatuh cinta, akan mengambil jalan yang benar. Menyegarakan perkara yang baik, tapi mestilah berjaga-jaga.

Oleh itu, terpulanglah kepada individu untuk mengaplikasikan cinta. Samada hendak mengekalkan halalnya, atau merubahnya menjadi haram. Kerana Islam tidak mengajar penganutnya membunuh fitrah, sebaliknya mengurus fitrah.

Silap mendefinisikan cinta, natijahnya ramai takut untuk mendalami tentang cinta yang sebenarnya.

Lalu, bagaimana kita mendefinisikan cinta itu?


Rembau
1 Rabi'ulawal 1433H



No comments:

Post a Comment