Tuesday, July 17, 2012

Artis & Seniman Berusrah

KUALA LUMPUR - 17 JULAI: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak para artis dan selebriti menyertai usrah Seniman, Karyawan dan Artis (Musika) sebagai langkah untuk mereka terus istiqamah dengan penghijrahan.

PAS sentiasa memastikan setiap ahlinya akan menyertai program usrah baik di peringkat akar umbi apatah lagi di peringkat pimpinan atasan kerana usrah dilihat sebagai aktiviti pentarbiyahan.

Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, program usrah Musika yang dikhususkan kepada artis dan selebriti pernah diadakan sebelum ini dan pada 19 Julai ini adalah untuk kali ke-3.

Dengan adanya program seperti ini, katanya artis yang belum menyertai PAS juga melahirkan minat untuk menyertai Musika. 

"Ini adalah perkembangan yang baik, kita tidak mahu artis dan selebriti yang menyertai PAS mensia-siakan penghijrahan mereka dan daripada program ini insyallah mereka akan istiqamah," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya,  usrah yang mungkin diadakan secara berkala itu akan turut membincangkan peranan dan penghijrahan yang mereka lakukan terhadap PAS dan masyarakat.





Di samping itu, DPPM akan bekerjasama dengan Lajnah Kebudayaan PAS Pusat untuk menganjurkan majlis dan taklimat khusus Presiden PAS kepada semua ahli baru yang bukan sahaja artis tetapi golongan penjawat awam yang menyertai PAS.

"Kita akan adakan pertemuan tertutup untuk jelaskan hala tuju, dasar dan prinsip PAS. Sekali gus mewujudkan hubungan secara tidak langsung individu dan pimpinan bersama golongan selebriti untuk pentarbiyahan secara tidak formal," katanya. 

Katanya, PAS telah membuat perubahan besar mendekati golongan artis sehingga mencetuskan fenomena kemasukkan artis dalam PAS.

"Kita telah mulakan langkah awal menziarahi dan mendekati mereka, jadi inilah (Musika) yang akan menjadi jambatan menghubungkan PAS dengan artis," katanya.




Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, Halim Ahmad berkata, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan artis untuk mengelakkan mereka yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Hari ini ramai artis dengan berani tampil secara rasmi menyertai PAS antaranya, pelakon filem Lt. Adnan Hairie Othman, penyanyi popular 'Janji Manismu' Wan Aishah Wan Ariffin, komposer lagu Bob Lokman, dan pengarah drama Adam Hamid dan pelawak Leman Raja Lawak. 



Adaptasi :- HarakahDaily


Rembau
28 Sya'ban 1433H


No comments:

Post a Comment